Tuesday, 23 April 2013

Sajak: Kain Buruk Ayah



Sajak: Kain Buruk Ayah

Kain buruk ayah kalau tiada segala
buat menjadi payah jangan sekali-kali diserah
nanti hati ayah jadi parah

Ke danau buat basahan
kalau di kepala jadi lilitan
berteleku di surau menyembah Tuhan
dingin malam menyelimuti badan

Jangan diserah kain buruk ayah itu
biar rabak, putus benang beribu
biar renyuk, kedut berdebu
tiada sehari hati ayah jadi sebu

Kain buruk ayahku
kusam dan masam berbau
hari-hari dibasuh ibu
kasih mereka menjadi jitu

Kain buruk ayah kini tiada
sejak ayah emak pergi berdua
kurang sejengkal masih tinggal di beranda
kekal di situ menjadi tanda

Nukilan:
Muzamir
Hulu Kelang, Selangor




Soalan:


Apakah yang dimaksudkan dengan 'berteleku di surau menyembah Tuhan' ?
Adakah 'Ayah' masih hidup di dunia?
Sajak diatas menceritakan tentang apa?




SUMBER: http://penyair.wordpress.com/

Monday, 22 April 2013

Tokoh Sejarah: Dato' Maharaja Lela



Dato' Maharaja Lela Pandak Lam adalah salah seorang pembesar delapan Perak. Pandak Lam adalah keturunan Daeng Salili, anak Raja Bugis yang berasal dari Daerah Luwuk, Sulawesi. Daeng Salili dating ke Perak ketika pemerintahan Sultan Muzaffar Shah III. Beliau dilantik sebgaai mufti Perak dan dianugerahkan gelaran Dato Maharaja Lela Tan Lela dengan kuasa boleh memancung tanpa bertanya. Beliau terlibat dalam perjuangan menentang British di Perak dan merupakan pemimpin yang mengetuai perjuangan tersebut. Beliau bersama-sama dengan pemimpin lain seperti Orang Kaya-kaya Seri Agar Diraja (lebih dikenali sebagai Dato Sagor) dan Ngah Kandin telah merancang dan membuat pakatan menentang penglibatan British di Perak dengan membunuh Residen British iaitu James Wheller Woodfird Birch (J.W.W. Birch).

Dalam perjuangan ini beliau mendapat restu daripada Sultan Abdullah dan Sultan Ismail serta mendapat sokongan daripada penduduk sekitar Pasir Salak dan Kampung Gajah. Penglibatan Dato' Maharaja Lela sebagai tokoh utama dalam pembunuhan J.W.W Birch adalah melaksanakan keputusan mesyuarat Durian Sebatang pada 21 Julai 1875 yang dipengerusikan oleh Sultan Abdullah dan dihadiri oleh pembesar atau wakilnya. Namun, perjuangan beliau didapati bersalah oleh mahkamah yang bersidang dari 14-22 Disember 1876. Beliau telah dijatuhi hukuman gantung sampai mati pada 20 Januari 1877. Disini dapat disimpulkan bahawa Dato' Maharaja Lela adalah pejuang bangsa yang bertanggungjawab kepada sumpah dan janjinya tetapi dikecewakan oleh raja dan bangsanya sendiri.

Peristiwa perjuangan

Dato' Maharaja Lela bersama-sama Orang Kaya Kaya Seri Agar Diraja Ngah Kamdin (Dato' Sagor) dan pembesar-pembesar negeri lain telah bermesyuarat di Durian Sebatang pada 21 Julai 1875 untuk merancang perjuangan dan pembunuhan JWW Birch. Mesyuarat ini telah di pengerusikan oleh Raja Abdullah sendiri.

Pada 15 Oktober 1875 Gabenor Negeri Selat William Jervois telah mengishtiharkan pemerintahan ke atas negeri Perak. Dato Maharaja Lela telah membina kubu di Pasir Salak dan bersedia untuk berperang. JWW Birch dan askar-askar termasuk jurualih bahasa iaitu Mat Arshad telah ke Pasir Salak pada 1 November 1875 untuk melaksanakan pengishtiharan tersebut. Mat Arshad dan pengikutnya yang diarahkan oleh JWW Birch untuk menampal pengishtiharan di Pasir Salak telah membangkitkan kemarahan penduduk Pasir Salak dan Kampung Gajah. Pandak Indut (bapa mertua Dato Maharaja Lela) telah membunuh Mat Arshad dan seterusnya penduduk Pasir Salak telah mengamuk dan menyerang JWW Birch dan askarnya. Melalui serangan tersebut JWW Birch telah ditetak Si Puntung (orang suruhan Dato' Maharaja Lela yang di percayai orang asli).

Berikutan peristiwa tersebut Dato' Maharaja Lela telah diburu dan setelah setahun akhirnya Dato' Maharaja Lela berjaya ditangkap oleh British. Dato Maharaja Lela telah di jatuhkan hukuman gantung sampai mati pada 20 Januari 1877 kerana merancang pembunuhan tersebut.


Soalan:


  1. Apakah nama sebenar Dato' Maharaja Lela?
  2. Mengapakah Dato' Maharaja Lela diburu dan dikehendaki pihak British? 
  3. Bilakah Dato' Maharaja Lela digantung?




Tatabahasa: Ayat Tunggal & Ayat Majmuk




Ayat Tunggal
1. Ayat tunggal terdiri daripada satu subjek dan satu predikat.
2. Ayat ini juga dikenali sebagai ayat mudah atau ayat selapis.
Contoh : Lelaki gemuk itu \ sedang menembak burung.
            Subjek    =  Lelaki gemuk itu
            Predikat  =  sedang menembak burung.

Ayat Majmuk
1. Ayat Majmuk ialah ayat yang mengandungi dua atau lebih ayat - ayat tunggal disambungkan oleh perkataan Kata Hubung seperti dan, atau, kecuali, tetapi, sambil, seraya dan lain-lain.
2. Ayat ini juga dikenali sebagai ayat Selapis.
Contoh : A) Razak mengambil sebuah buku cerita. ( Ayat Tunggal )
            B) Razak membaca buku itu. ( Ayat Tunggal )
            C) Razak mengambil sebuah buku cerita lalu membaca buku itu.  ( Ayat Majmuk )

PEMAJMUKAN

Kata Majmuk
1. Dua atau lebih daripada dua patah dasar dapat digabungkan untuk membentuk satu kata baru yang padu atau sebati maknanya.
2.     Kata paduan atau sebatian yang demikian dikenal sebagai kata majmuk.
3.     Setiap kata yang menjadi komponen kata majmuk mempunyai maknanya sendiri-sendiri.
4.     Misalnya, wang dan saku yang menjadi komponen kata majmuk wang saku mempunyai maknanya masing-masing. Makna wang saku ialah wang dibawa untuk digunakan apabila diperlukan.
5.         Ada juga kata majmuk yang terbentuk daripada dua patah kata yang berbeza tetapi maknanya sama atau hampir-hampir sama. Beberapa contohnya ialah cantik jelita, hancur lebur, dan sunyi sepi.
6.         Dua patah kata yang sama atau hampir sama maknanya itu dimaksudkan untuk menyatakan makna kesangatan. Misalnya, cantik jelita bererti sangat cantik, hancur lebur bererti hancur sama sekali, dan sunyi sepi bererti sangat sunyi.

Bentuknya

7.         Kata majmuk ada yang dieja tercantum dan ada yang dieja terpisah tetapi tidak ada yang bersempang.
8.         Dengan itu, dapatlah dibezakan bentuk kata majmuk daripada bentuk kata ganda yang dieja bersempang kecuali kata ganda separa seperti bebawang, jejari, kekuda, dan sebagainya.
9.            Beberapa contoh kata majmuk yang dieja tercantum ialah apabila, bumiputera, daripada, jurumudi, kadangkala, dan walaupun.
10.            Beberapa contoh kata majmuk yang dieja terpisah ialah air mata, buah pinggang, campur tangan, daun pintu, ganti rugi, dan hak cipta.
11.        Dari segi bentuknya, kata majmuk ter­bahagi kepada beberapa kelas seperti yang berikut:
(a) kata nama majmuk;
(b) kata bilangan majmuk;
(c) kata adjektif majmuk;
(d) kata kerja majmuk;
(e) kata sendi majmuk;
(f) kata keterangan majmuk;
(g) Kata hubung majmuk.
12 Sebahagian besar daripada kata majmuk dalam bahasa Melayu tergolong dalam kelas kata nama.
Contoh kata nama majmuk, antara yang lainlain, ialah air mata, buah mulut, cita rasa, daun telinga, ganti rugi, dan hak cipta.
13. Kata bilangan majmuk, antara yang lain-lain, ialah tiga puluh, dua pertiga, dan dua ratus lima puluh.
14.        Kata adjektif majmuk, antara yang lain-lain, ialah aman damai, buta huruf, cantik jelita, gagah perkasa, merah jambu, iri hati, dan kelam kabut.
15.        Kata kerja majmuk ada yang bebas, yakni tidak terikat pada sebarang imbuhan.
Contohnya: angkat kaki, buang air, campur tangan, datang bulan, dan gulung tikar.
16.        Kata kerja majmuk ada juga yang terikat. Contohnya: mengadu domba, mengambil alih, mengambil berat, menganggap sepi, mengangkat sembah, membalas budi, membanting tulang, mencari gali, bercerai susu, berdiam diri, menyalahgunakan, menembak mati, dan bertungkus lumus.
17 Kata sendi majmuk pula tidak seberapa jumlahnya, iaitu darihal, daripada, kepada, dan sedari.
18 Kata keterangan majmuk, antara yang lainlain, ialah acap kali, boleh jadi, demikian, kadangkala, lambat laun, pertama kali, sambil lalu, dan sekali sekala.
19 Kata hubung majmuk, antara yang lain-lain, ialah apabila, manakala, dan meskipun.

Tugasnya

20.        Kata majmuk mempunyai dua tugas seperti yang berikut:
           (a) menetapkan kelas kata dasar. Contohnya.
air (kata nama) + mata (kata nama)
air mata (kata nama)
lemah (kata adjektif) + lembut (kata adjektif)lemah lembut (kata adjektif)
mogok (kata kerja) + duduk (kata kerja)mogok duduk (kata kerja)
dari (kata sendi) + pada (kata sendi)daripada (kata sendi)
(b) mengubah kelas kata dasar. Contohnya:
apa (kata ganti tanya) + bila (kata keterangan tanya)apabila (kata nama)
alim (kata adjektif) + ulama (kata nama)alim utama (kata nama)
gulung (kata kerja) + tikar (kata nama)gulung tikar (kata kerja)
tumbuk (kata kerja) + rusuk (kata nama)tumbuk rusuk (kata nama)
cerdik (kata adjektif) + pandai (kata adjektif)cerdik pandai (kata nama)
lalu (kata kerja) + lintas (kata kerja)lalu lintas (kata nama)
banyak (kata adjektif) + mulut (kata nama)banyak mulut (kata adjektif)
lambat (kata adjektif) + laun (kata adjektif)lambat laun (kata keterangan)

Maknanya

21.        Dari segi maknanya, kata majmuk dapat dibahagi kepada dua jenis seperti yang berikut:
(a) kata majmuk wajar;  
(b) kata majmuk kiasan
22. Kata majmuk wajar ialah kata majmuk yang sebenarnya, yang maknanya dapat diketahui daripada makna katakata yang menjadi komponennya.
Misalnya, buah anggur ialah kata majmuk wajar kerana maknanya tidak lain daripada buah yang bernama anggur.
23.        Kata majmuk kiasan pula ialah kata majmuk yang maknanya lain daripada makna yang ada pada kata-kata yang menjadi komponennya.
Misalnya buah hati ialah kata majmuk kiasan kerana maknanya tidak kenamengena dengan buah ataupun hati.
Makna buah hati ialah kekasih yang dicintai, bukan buah yang bernama hati.
24.        Berikut ialah beberapa contoh kata majmuk wajar.
adat istiadat
alih bahasa
bahasa pasar
bakul sampah
batang hidung
cakera padat
cantik jelita
daya cipta
dengki hati
emas putih
esok hari
gagah berani
galah canggah
rendah hati
sabun mandi
sihat akal
gunung api
hancurlebur
harga borong
hitam manis
ikan parang
inti sari
isi perut
juling air
kaca mata
kerak bumi
otak depan
olah raga
pagar duri
pindah tangan
rabun jauh
tahan lasak
kongsi gelap
lampu duduk
lipat ganda
lubang hidung
mabuk taut
merah jambu
minyak makan
naik takhta
nenek moyang
orang gaji
tuan rumah
udang galah
uji kaji
wang saku
warta berita
zat air
24.        Berikut ialah beberapa contoh kata majmuk kiasan.
akal kancil
anak angkat
anak baju
anak emas
anak kunci
batu loncatan
banyak mulut
buah mulut
bulan madu
cahaya mata
cakap angin
campur tangan
cekak musang
dapur susu
mata hari
naik darah
nyawa ikan
otak udang
tangan besi
timbang rasa
darah daging
datang bulan
daun pintu
emas kahwin
embun jantan
filem bisu
gaji buta
gantung kemudi
gatal mulut
gunung payung
habis akal
lalat hijau
lebar mulut
lemah semangat
lepas tangan
main angin
malam buta
sampai hati
tali barut
tanah air
hajat besar
harga diri
ibu ayam
isi hati
jalan bahasa
jauh hati
kaki tangan
karat hati
kata dua
kecil hati
kereta api
papas hati
panjang tangan
pasar gelap
patah hati
rendah hati
sagu hati
sakit hati
tumbuk rusuk



SOALAN:
  1. Bina ayat tunggal daripada perkataan 'menimbang'.
  2. Bina satu ayat majmuk daripada perkataan 'membaca'.
  3. Berikan dua contoh kata majmuk yang betul. 

Sunday, 21 April 2013

Pantun Melayu

Kekayaan khazanah pantun Melayu diwarnai oleh sekumpulan pantun yang sungguh istimewa dan unik serta mewakili peri ketinggian daya pemikiran dan kehalusan bahasa Melayu. Pantun tersebut sentiasa segar dalam hafalan masyarakat Melayu, diingati generasi demi generasi, malahan berterusan hingga ke hari ini sebagai khazanah pantun klasik Melayu.
Pantun Melayu terdiri daripada beberapa jenis pantun seperti pantun adat, agama, nasihat, jenaka, budi dan teka-teki. Setiap pantun yang dicipta mempunyai fungsi atau kegunaannya sendiri. Dalam masyarakat Melayu, pantun merupakan satu corak komunikasi berseni yang digunakan di tempat yang tertentu, dalam upacara yang tertentu atau untuk menyampaikan sesuatu dalam maksud termasuk kiasan atau sindiran. Penggunaan pantun dalam menyampaikan sindiran bertujuan agar yang kena sindir atau yang kena nasihat itu tidak marah, tetapi sebaliknya mempunyai azam untuk membaiki perbuatan dan perangai yang tidak disukai. Diingatkan di sini, seseorang yang akan menyampai atau melafazkan pantun juga harus memerhatikan isi pantun. Keadaan pantun dilafaz menjadi pertimbangan dalam penyampaikan isi pantun. Jika hal ini tidak diberi perhatian oleh orang yang melafazkan pantun, dikhuatiri akan menimbulkan salah faham kepada pendengar terutama pantun yang berkaitan dengan sindiran dan nasihat. Begitu juga jika melafazkan pantun berkaitan dengan budi dan jenaka. Cara melafazkan pantun harus dijaga agar maksud atau tujuan sesuatu pantun itu dilafazkan sampai kepada pendengar. Sesungguhnya, Pantun Melayu yang dicipta oleh masyarakat Melayu dahulu mempunyai beberapa fungsi.

Contoh pantun Melayu adalah seperti dibawah:


Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti;
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.

Puas sudah kutanam padi,
Nenas juga ditanam orang;
Puas sudah kutanam budi,
Emas juga dipandang orang.

Dari mana punai melayang,
Dari paya turun ke padi;
Dari mana datangnya sayang,
Dari mata turun ke hati.

Kalau tuan jalan ke hulu,
Carikan saya bunga kemboja;
Kalau tuan mati dahulu,
Nantikan saya di pintu syurga.

Tanjung Katong airnya biru,
Tempat mandi si dara jelita;
Sama sekampung lagikan rindu,
Inikan lagi jauh dimata.


Soalan:


  1. Berikan 3 jenis pantun yang diketahui. 
  2. Apakah fungsi utama pantun? 
  3. antara pantun diatas, yang manakah menyampaikan maksud nasihat? 




Saturday, 13 April 2013

KERJASAMA SATU AMALAN MULIA



Yang dimaksudkan kerjasama adalah pekerjaan yang biasanya dikerjakan oleh individu tapi dikerjakan secara bersamaan oleh dua orang atau lebih dengan tujuan agar pekerjaan tersebut menjadi lebih ringan. "Sejak kita kecil lagi, kita diajar dengan pepatah 'berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Samalah dengan konsep gotong-royong di mana kerja yang berat kalau diusahakan bersama, maka menjadi ringanlah ia. Itulah yang dimaksudkan dengan kerjasama", 


Soalan:
1. Apakah sikap positif yang ditunjukkan oleh kumpulan semut dalam video diatas? 
2. Mengapa sikap kerjasama ini penting untuk kita?
3. Perlukah kita memupuk sikap bekerjasama dalam diri? Jelaskan mengapa.